Puteri Istana rimba

Rabu, 26 Oktober 2011

aku adalah cerita dongeng
yang menyanggah tipikaliti dongengan

(26/10/11 1:04 pm)

mahukah kau merasakannya?

Selasa, 25 Oktober 2011

MAHUKAH KAU MERASAKANNYA?
DATANGKAN IMAGINASIMU
KE ALAM DI SEBALIK KEJERNIHAN
TERAPUNG-APUNG DI KENYATAAN
GELAP-GELITA
HITAM DAN KELAM
DIBELAI DENDAM KEJAM
SAMA-SAMA MENARIK KHAYAL
MEMBENAMNYA SEPENUH HATI
HINGGA JIWA DIRANGSANG KE ATAS
MENGGIGIL DALAM SENYUM DAN TAWA
MENGHIRUP KEHARUMAN BAU
DENGAN HANYIR DARAH
MENAGIH PUJUK RAYU
DALAM PENDERAAN PEDIH
YANG MEMANJAKAN KEHAUSAN

TEKAK YANG DAHAGA
MEMINUM NISTA HARAM
PERUT YANG KELAPARAN
MERATAH BANGKAI BUSUK
TANPA PENGERTIAN
TANPA PERMINTAAN

SAMBUTLAH TANGANKU
JUNAM KEPALAMU KE MARI
RENANGILAH KESEDIHAN DAN KEKECEWAAN
PADA PAKSI KEBENARAN
LAYARKAN PENGHARAPANMU YANG TINGGI
DI LAUT YANG KERING DAN TANDUS
AGAR TIADA APA YANG BERLAKU
WALAU KAU MENJERIT DAN MERAUNG
SUNTIKKAN RACUN DAN LUMURKAN MADU
DI CELAH-CELAH DAGING YANG LUKA
BIAR MERESAP KE DALAM ISI
YANG TERKOYAK DAN BERNANAH
SIAT-SIATKAN IA
AGAR KESAKITANNYA MERASUK FIKIRAN

DAN LANTAS....
TEMASYA KEMULIAAN YANG KAU PERSEMBAHKAN
MEREKA GEMALAIKAN TARIAN KEHANCURAN
MEREKA DENDANGKAN NYANYIAN KEHAMPAAN
MEREKA PENTASKAN LAKONAN KEBENCIAN
BERSAMA RENTAK KESENGSARAAN
SATUKAN SEMUANYA MENJADI HINAANMU
MAKA BERPESTALAH HINGGA MATI
BERKATA-KATALAH HINGGA HUJUNG HARI
MENCEBIKLAH, MENYINDIRLAH
KECAMLAH KERANA MEREKA
UMPAMA SAMPAHMU
MENANGIS DALAM PENANTIAN
MENUNGGU DAN MENUNGGU
SEUMUR HIDUP

DADA YANG PECAH
NAFAS YANG SESAK
DENYUT JANTUNG BAGAI TERHENTI
TAK MUNGKIN TERLUNAS
WALAU BERJUTA KEHORMATAN
WALAU MARUAH DIJULANG KE LANGIT
HUTANG TETAP HUTANG
KEJAHATAN, KEGANASAN
MEMBUNUH DAN MEMBAHAM
DIRI YANG MASIH MERINDU
MERATAP DAN MERINTIH
SADIS, NGERI, SAKIT DAN DERITA
MERINDU KE PINTU AJAL
TUBUH YANG DIGILIS KETAGIHAN
MERONTA JIWA DAN MENGGELETAR
TERLALU GIAN
DIHISAP KEASYIKAN
MELAYANG TERAWANGAN
TERUS MEMBEKU DAN KHAYAL
HINGGA MEREKA TERLENA KELETIHAN
KERANA MENANGIS SEHABIS DAYA
DI PUSARA HIDUP
TERTIMBUS LEMAS
BERSAMA MAYAT-MAYAT REPUT
SEGALA-GALANYA MENJADI
-MATI-

(1997)

Sungai Yang Sejat-Hanya Untuk Yang Mengerti

Sungai kita menyejat
Api itu menjadi mekar
Kian kukuh pusara gentar
Berkubur jua di medan salji

Dalam melangkah menuju hujung
Yang suci itu noda
Dan noda adalah penawar
Meracun luhur

Hanya tunduk jua
Akur untuk mengerti
Indera yang searah
Melihat batas nyawa
Memejam janji azali
Jangan diganggu!

Timbangan yang terbalik
Menunduk kehitaman
Lalu bersamalah disulam
Pakaian lumpur
Baru megah angkasa
Tangan menunjang langit

Yang lazim di luar lazim
Sekadar satu ikut-ikutan
Berdiri di udara
Terbang di arus air

Satu suara jua
Diubah menjadi sumbang
Jangan diusik!!
Api yang mekar
lebih indah dari sungai sejat
Lalu hanya bahasa ini
Bahasa kita
Pergilah ke balik zahir....

(19/12/07 1:14 pm)

Cuma Itu

di garis mula
sewaktu sunyi..
menyapa hidup pertama kali
perlahan-lahan ia menjadi irama
mengulit lena ini..

ke hujung dunia
memburu tidur malamku
akhirnya lelap jua
di serpihan kaca..
hidupku di kehidupan itu..
sekadar perubahan watak dan cerita
dalam intisari yang sama

apa yang tersaji..
hanya antara cahaya yang tak pernah padam
atau kegelapan yang berpanjangan
nasibmu yang mematri janji
bukankah bila ada salji
pasti jua akan ada lumpur
maka di setiap bahagia..
pasti jua akan ada sengsara..

mengertikah...?
serabutnya realiti..
hanya diselusuri belitan otak
celarunya kenyataan
hanya dihayati kerumitan jiwa..
di sini aku di sudut hidup
menyanyi melodi sepi
dan sepi itu hanya sepi
..kebisuan yang nyaring..

(24/05/08 10:10 am)

kesucian terakhir

sumpah kesucian akhir
sumpah dengan darah berwarna hitam
genggam sebuah serampang
dari satu
yang berpusar dan hilang
di celah-celah misteri
rahsia agung yang kekal

dosa....
melaknat kepuraan
bukan pada tutur bicaramu
bukan pada gerak gayamu
yang kau sendiri tak mengerti

sumpah terakhir
laungkan tanpa suara
ikrar hati yang bersih
dunia tanpa sebarang dimensi
pencarian kebenaran
mengelilingi satu galaksi
dan dunia sesudahnya
dunia sebelumnya
terlarang bagimu
jalan yang sehala ke hadapan
tetapi....
takkan kau rasai
yang kau sendiri tak mengerti
sumpahan bertaut di dasar
yang takkan kau tahu di mana

mengertikah kau?
mungkin suatu hari kau fahami
mungkin jua
tidak untuk selama-lamanya

(1998)

wajaran tereka

biarkan malam menjadi saksi
akan kematian ini
dia yang bernama nyawa
di kalang maya
menjadi sekujur jenazah
di liang hakikat

dan bertaburan
untaian-untaian mutiara
dari laut lava
tertempa pada batil
yang menyongsangkan hak
cerita khayalan dalam tabir kenyataan
seperti kilat emas
yang membelah awan hitam

lalu aku jahitkan kata-kata ini
mencipta lembaran kelabu
pada dua detik antara malam
gelapku
bukan wajaran tafsirmu

(25/10/11 11:02 pm)

Sampai Sini

pada saat aku mula percaya
pastinya
esok cuma hari baru
dan seluas sempadan yang terentang
akulah insan asing
di pentas semalam

(25/10/11 10:44 pm)

Bukan Kepunyaanku

apa yang aku lepaskan
dan ia hilang....

....hanyalah sesuatu

yang bukan kepunyaan aku

(25/10/11 7:36 am)


Tidur

aku yang hilang
dalam kepul-kepul awan
terapung di langit sembilan
mengutip khayalan
(24/10/11 10:40 pm)

merah

Selasa, 11 Oktober 2011


....lihat pintu terbuka
satu undangan....
buat kamu
langkahlah
tembusi segala larangan
 datang hampiri
hampir lagi....
 lagi....
lagi....
lagi....
sehingga tiada jarak
nafas bertemu nafas
.
.
.
.
.
.
.
.

oh
tutup pintu itu, sayang
babak kamar merah....
....bahangnya terlalu panas
syyyyyyyyyyyyy....



(11/10/11 10:24 pm)

Pasti

Isnin, 10 Oktober 2011

perjalanan yang bagai menyusur terowong
mengghaibkan hujung
jauhnya!
tak tersentuh
tak terjangkau
mengejar cahaya di akhir infiniti
....
aku jadi bungkam
lelah
membilang lohong....
namun janji langit
hujan pasti berhenti
lalu aku tersenyum
senyum dan terus tersenyum
percaya pada benar
pasti itu pasti!

(10/10/11 11:26 pm)

nota : gambar bukan milik penulis

Iktibar

kekesalan aku................
pada silap dan dosa
telah aku pelajari
tapi sayangnya
iktibar yang aku pelajari
hanya bermakna untuk esok
bukanlah hari kelmarin




.................








....yang amat aku dendami....
.
.
.
.

(10/10/11 11:12 pm)




Esok Yang tiba

di antara garis-garis langit yang menulis sepi
ada nadi-nadi rin
du
yang bernafas lesu
membawa roh-roh ingatan
berawakan
bersama cebis memori
dari serpih
an kehidupan

kita berdiri di pusara waktu
melihat bayang-bayang sejarah
jasadnya yang termakam kaku
diam berkubur
mimpi-mimpi yang be
rterbangan dari genggaman
melintas di hujung mata
mencatat makna syahdu
tanpa ada terje
mahannya

hujung mimpi kita
setelah bangkitnya mentari pagi
memandang realiti yang mengusir bintang malam
khayalan indah kita
dan di awan yang berwarna emas
tempat kita lukiskan segala angan
kini hanya kanvas kosong
menjadi kepunyaan esok
bukan lagi milik semalam

samar-samar berarak
menghilang ke dalam silam
lalu membentuk satu lagi
replika
di dalam koleksi
monomen kenangan mati

(10/10/11 10:14 pm)


nota : gambar bukan milik penulis

Damba

.........................................
apa yang aku mahu
cuma kerlip dari langit
memanahkan api
menusuk jiwa
lalu membakar darah
merangsang ghairah
dan nadi berdenyut
bergetar hangat
berahi dan merah

(10/10/11 2:02 am)



Bangun Tidur

Ahad, 2 Oktober 2011

tanpa senyuman
aku ukirkan senyum ini
menterjermah bicara langit
hikmah dalam abstrak yang sulit
tingkat di satu lagi
dalam sebuah hidup

biar angin berhembus
menyebarkan sedar
tari alam yang bergemalaikan pasti
tanah berkandung hakikat
rahsia nan satu di belakang mimpi
memecahkan cermin
khayalan yang bertopengkan realiti
memesong rasa jiwa
sesat dan hilang

begini
di sini
kesia-siaan
bangun yang masih dalam mimpi
aku hanya mahu jaga
menelan derita
lalu sekali lagi aku ukirkan senyuman ini
tanpa senyum yang terukir

(02/10/11 2:40 pm)



Sebuah Ketiadaan

detik yang bagai dibekukan
mendengar ombak yang tiada deru
melihat hentian yang tiada pengunjung
penuh kekosongan
penuh kehampaan
menghembus keluh
mata yang melewati sisa
seperti embun sayu
arkib memoriku
tanpa memorinya

(02/10/11 2:28 pm)

Dini

langit yang sunyi
menangiskan embun pagi
lalu kuyup daratan
merawak dingin
sepi, kelam
cuma kerlipan bisu
melambai perginya waktu

(02/10/11 2:44 am)

Jenis Sampah