Memaparkan catatan dengan label Kitar Semula. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kitar Semula. Papar semua catatan

mahukah kau merasakannya?

Selasa, 25 Oktober 2011

MAHUKAH KAU MERASAKANNYA?
DATANGKAN IMAGINASIMU
KE ALAM DI SEBALIK KEJERNIHAN
TERAPUNG-APUNG DI KENYATAAN
GELAP-GELITA
HITAM DAN KELAM
DIBELAI DENDAM KEJAM
SAMA-SAMA MENARIK KHAYAL
MEMBENAMNYA SEPENUH HATI
HINGGA JIWA DIRANGSANG KE ATAS
MENGGIGIL DALAM SENYUM DAN TAWA
MENGHIRUP KEHARUMAN BAU
DENGAN HANYIR DARAH
MENAGIH PUJUK RAYU
DALAM PENDERAAN PEDIH
YANG MEMANJAKAN KEHAUSAN

TEKAK YANG DAHAGA
MEMINUM NISTA HARAM
PERUT YANG KELAPARAN
MERATAH BANGKAI BUSUK
TANPA PENGERTIAN
TANPA PERMINTAAN

SAMBUTLAH TANGANKU
JUNAM KEPALAMU KE MARI
RENANGILAH KESEDIHAN DAN KEKECEWAAN
PADA PAKSI KEBENARAN
LAYARKAN PENGHARAPANMU YANG TINGGI
DI LAUT YANG KERING DAN TANDUS
AGAR TIADA APA YANG BERLAKU
WALAU KAU MENJERIT DAN MERAUNG
SUNTIKKAN RACUN DAN LUMURKAN MADU
DI CELAH-CELAH DAGING YANG LUKA
BIAR MERESAP KE DALAM ISI
YANG TERKOYAK DAN BERNANAH
SIAT-SIATKAN IA
AGAR KESAKITANNYA MERASUK FIKIRAN

DAN LANTAS....
TEMASYA KEMULIAAN YANG KAU PERSEMBAHKAN
MEREKA GEMALAIKAN TARIAN KEHANCURAN
MEREKA DENDANGKAN NYANYIAN KEHAMPAAN
MEREKA PENTASKAN LAKONAN KEBENCIAN
BERSAMA RENTAK KESENGSARAAN
SATUKAN SEMUANYA MENJADI HINAANMU
MAKA BERPESTALAH HINGGA MATI
BERKATA-KATALAH HINGGA HUJUNG HARI
MENCEBIKLAH, MENYINDIRLAH
KECAMLAH KERANA MEREKA
UMPAMA SAMPAHMU
MENANGIS DALAM PENANTIAN
MENUNGGU DAN MENUNGGU
SEUMUR HIDUP

DADA YANG PECAH
NAFAS YANG SESAK
DENYUT JANTUNG BAGAI TERHENTI
TAK MUNGKIN TERLUNAS
WALAU BERJUTA KEHORMATAN
WALAU MARUAH DIJULANG KE LANGIT
HUTANG TETAP HUTANG
KEJAHATAN, KEGANASAN
MEMBUNUH DAN MEMBAHAM
DIRI YANG MASIH MERINDU
MERATAP DAN MERINTIH
SADIS, NGERI, SAKIT DAN DERITA
MERINDU KE PINTU AJAL
TUBUH YANG DIGILIS KETAGIHAN
MERONTA JIWA DAN MENGGELETAR
TERLALU GIAN
DIHISAP KEASYIKAN
MELAYANG TERAWANGAN
TERUS MEMBEKU DAN KHAYAL
HINGGA MEREKA TERLENA KELETIHAN
KERANA MENANGIS SEHABIS DAYA
DI PUSARA HIDUP
TERTIMBUS LEMAS
BERSAMA MAYAT-MAYAT REPUT
SEGALA-GALANYA MENJADI
-MATI-

(1997)

Sungai Yang Sejat-Hanya Untuk Yang Mengerti

Sungai kita menyejat
Api itu menjadi mekar
Kian kukuh pusara gentar
Berkubur jua di medan salji

Dalam melangkah menuju hujung
Yang suci itu noda
Dan noda adalah penawar
Meracun luhur

Hanya tunduk jua
Akur untuk mengerti
Indera yang searah
Melihat batas nyawa
Memejam janji azali
Jangan diganggu!

Timbangan yang terbalik
Menunduk kehitaman
Lalu bersamalah disulam
Pakaian lumpur
Baru megah angkasa
Tangan menunjang langit

Yang lazim di luar lazim
Sekadar satu ikut-ikutan
Berdiri di udara
Terbang di arus air

Satu suara jua
Diubah menjadi sumbang
Jangan diusik!!
Api yang mekar
lebih indah dari sungai sejat
Lalu hanya bahasa ini
Bahasa kita
Pergilah ke balik zahir....

(19/12/07 1:14 pm)

Cuma Itu

di garis mula
sewaktu sunyi..
menyapa hidup pertama kali
perlahan-lahan ia menjadi irama
mengulit lena ini..

ke hujung dunia
memburu tidur malamku
akhirnya lelap jua
di serpihan kaca..
hidupku di kehidupan itu..
sekadar perubahan watak dan cerita
dalam intisari yang sama

apa yang tersaji..
hanya antara cahaya yang tak pernah padam
atau kegelapan yang berpanjangan
nasibmu yang mematri janji
bukankah bila ada salji
pasti jua akan ada lumpur
maka di setiap bahagia..
pasti jua akan ada sengsara..

mengertikah...?
serabutnya realiti..
hanya diselusuri belitan otak
celarunya kenyataan
hanya dihayati kerumitan jiwa..
di sini aku di sudut hidup
menyanyi melodi sepi
dan sepi itu hanya sepi
..kebisuan yang nyaring..

(24/05/08 10:10 am)

kesucian terakhir

sumpah kesucian akhir
sumpah dengan darah berwarna hitam
genggam sebuah serampang
dari satu
yang berpusar dan hilang
di celah-celah misteri
rahsia agung yang kekal

dosa....
melaknat kepuraan
bukan pada tutur bicaramu
bukan pada gerak gayamu
yang kau sendiri tak mengerti

sumpah terakhir
laungkan tanpa suara
ikrar hati yang bersih
dunia tanpa sebarang dimensi
pencarian kebenaran
mengelilingi satu galaksi
dan dunia sesudahnya
dunia sebelumnya
terlarang bagimu
jalan yang sehala ke hadapan
tetapi....
takkan kau rasai
yang kau sendiri tak mengerti
sumpahan bertaut di dasar
yang takkan kau tahu di mana

mengertikah kau?
mungkin suatu hari kau fahami
mungkin jua
tidak untuk selama-lamanya

(1998)

Tanpa Tajuk #8

Selasa, 17 Mei 2011

patahkah naluri
andai kau pijak
curahkan dakwat hitam
biar ternoda kertas putih

musnahkah dunia
andai kau menggoncang
gerhana rambulan
gerhana suria
gerhana bumi
bakarkan istana bertakhta
nanti tinggal tanduslah

hancurkah aku
diletupkan olehmu
warna ceria
warna gelap
salahkah ia
aku atau mereka?

(1997)


Tanpa Tajuk #7

kian gersang dan usang
menunggu
untuk senyum
bagaimana
untuk ketawa gembira

hampir tamat waktu
menanti percubaan
menelaah pelajaran baru
bagaimana
untuk merasa bahagia

tergerak hati
menyentuh kejernihan
sudah kelam
kejernihan dibayang keruh

masih ada dua saat
untuk senyum ketawa
selepas itu
bungkam semula
seperti asalnya

(1997)

Penyesalan

dibaluti kedinginan
ku peluk tubuh ini
memejam mata
kuyup dalam tangisan
ku tangisi jawapan
apa ertinya kini
tanpa selimut
menggigil menggeletar
menahan angin malam
menelusuk ke tulang

beratnya batin merana sendiri
atas sakit yang tiada penawar
belum reda lagi tangisanku
menghayati belaianmu
telah ku timbuni dosa
sakit kepalaku terdera
kini meratap kehampaan
harapan kasihmu
telah ku humban
tenggelam ke dasar keji

ku kutuk diri ini
ku belasah nafsu ini
tetapi apa ertinya
siapakah yang bisa ampuni
kesalahan dan dosa itu
runtuh sentuhan yang membesarkanku

ampunilah aku
walau ku tahu
rintihan ini
tiada kesudahannya
tiada maknanya

(1996)

AMUK

BERIKAN RUANG
BERIKAN SUNYI
ARGHH!!!!!!!!
BISINGNYA!!!!!!!!
DARI DULU
KAU BISING
KE MANA KU PERGI
KAU IKUTI
KESILAPANKU
BERULANG KAU UNGKIT
KEBAIKANKU
SERING KAU RAGUI
LANGKAHKU
KAU SANGSI
TEMANKU
KAU BENCI

APA YANG KAU MAHU
WANG?!!!
HARTA?!!!!
BERLIAN?!!!!
KATAMU BUKAN ITU
KATAMU KEJAYAANKU
BIAR AKU BERITAHU
TAHUKAH APA YANG AKU MAHU?
AKU MAHU KETENANGAN
JADI....

DIAM!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

TUTUP MULUT KAU
DAN DIAM
TINGGALKAN AKU SENDIRI

(1996)

*heh!

~Dia

sepanjang laluan ini
pantas aku berlari
mengejarimu
agar dapat ku gapai
sebelum kau lesap
dibawa senja yang tiba

satu persatu saat menghilang
sepanjang hari ini
tidak terasa padaku
semata-mata rindu semalam....

tika itu
kau terbit bersama fajar
menarik indera alam
terheretlah aku bersama
biar rebah dalam berlari
akan tetap ku teruskan

nantilah aku di sana
pasti di sana
hidupku siang di sepanjang hidup ini
mungkin jua
ia kan malam selamanya

(1996)

Tanpa Tajuk #6

bila-bila masa
dan di mana sahaja
kita boleh membina dunia
sesuka hati

kita tidak perlukan duit
tidak perlukan batu-bata
tidak perlukan tenaga kerja
tiada tempoh hendak ditunggu
tiada sesiapa hendak mengganggu

di mana jua
kita bisa hidup
mengikut jiwa
banyak ruang yang ada
malah kita tak perlukan ruang
asalkan kita mahu
sekelip mata berlaku

bukan mimpi
tutup mata
atau buka
ia kebenaran
di dalam dunia
wujud beribu dunia
dunia di balik dunia
dunia di atas dunia
dunia di luar dunia
dunia syurga
dunia neraka

asalkan kau mahu
kau boleh hidup
di mana-mana

(1996)

Tanpa Tajuk #5

Di suatu waktu
menyelusup kehadiran tidak diundang
bersembunyi di khayalan
mengintip apa yang disembunyi
dalam persembahan
teater realiti

Deruan nafas
menyeramkan rasa
ia meresap melaui celahan jari
lalu merasuk akal fikiran
memukau deria dan nafas
terperangkap seluruh penghuni
maka ia pun pergi
kemudian kembali semula
mengulangi perbuatan yang sama

(1996)

Tanpa Tajuk #4

berselindungkah aku?
lari dari itu
takut?
takutkah aku?
tetapi tidak pernah aku gentar
selama ini
lalu-lalu tenang wajahku
bukan berpura hidup

Ah!!
ku kambuskan semua sekali
ia tetap terbenam setiap sesaat
setulusnya tanpa rasa
kilas ku padam sendiri
tidak sudi menanti apa-apa
ia terpadam dek angka kertas

janjiku pada realiti, inilah
biar ia ku hilangkan
biar ia bertandang
siapa ingin menyambut
pergi!
pergilah!!
jangan kembali lagi

(1996)


Tanpa Tajuk #3

ketidakbenaran berterusan
tiada yang pasti
tiada yang tepat
bukan luka
bukan pilu
tetapi menyakitkan
menyayat hati
bukan semalam
bukan hari ini
bukan esok
bukan lusa
bukan realiti
bukan fantasi
bukan harapan
bukan kehendak
inginku dekat
namun kian jauh
mencari dan mencari
masa demi masa
hanya masih diri menanti
apakan daya
tiada kunci satu pintu
membuka tempat yang entah wujud

(1996)

Tanpa Tajuk #2

Malam ini cerah umpama siang
menjanjikan kedinginan rasa
rasa dingin yang keterlaluan
hingga tidak hilang
walau dibakar tujuh api sakti

Malam ini sepi umpama mati
menjanjikan kehausan rasa
rasa haus yang berpanjangan
hingga tidak hilang
walau diteguk tujuh laut suci

Malam ini ngeri umpama palsu
menjanjikan kehangatan rasa
rasa hangat yang menghanguskan
hingga tidak hilang
walau di dasar tujuh salju asli

Malam ini rahsia segalanya
seorang insan terlantar ketenatan
hanya sejalur cahaya iman
dirayu mengubat derita
1001

(1996)


Tanpa Tajuk #1

di detik kedamaian
di titik keseorangan
pejamkan matamu
hayati hadirnya suara
bisikan semangat jitu
jika kau sedar
setiap waktu
ia merayu

susurlah seketika
di arus sejati
tidak mungkin kecewa
kerana sebuah azimat
di keyakinan kejujuran
pada nyawa dan nafas
di ruang tak bertepi
kau dan dirimu
perlu dicantum

....rayuan iman
ianya suatu keramat

(1996)

*menyelongkar bahan buangan otak yang lama-lama di dalam timbunan sampah~sangat naif dan mentah

Diplomat

Jumaat, 15 April 2011

Dia datang ke rumahku
memberi salam
menjabat tanganku

Dia bersopan-santun
berbicara lemah-lembut
tapi dia memintaku
suatu kemustahilan

Dia senyum luhur
di dalamnya
menikamku terus-terusan
bukan dari belakang
berdepanan menusuk pedang berkilau
menembusi badanku

Dia ada di dalamku
di hatiku
di fikiranku
sampai bila?
tolonglah aku

Bila kau tanya siapa dia
dia hilang
tetapi sebenarnya dia di belakangmu
tersenyum memandangku
sambil menunjukkan pedangnya itu

(1996)

bersetubuh dengan fantasi

Rabu, 2 Mac 2011


Bayang Kelam....
aku menyeru kau datang
datanglah merentas malam
ke mari, ke dalam fantasi ini

dengarkah kau rayuan yang berlegar?
pada angin....
pada bayu....
di situ aku berbisik
bisikkan namamu
dari lukaku
dari sepiku

pertaruhan malam
lena yang dibunuh kedinginan
datanglah Bayang Kelam
membelah sempadan itu
kerana aku gersang
menanti di ranjang resah

pejamkan mata
aku mengirim rindu
sama melihat jiwa
jiwamu dan jiwaku
biar luruh pintu
ruang kita menjadi satu

tolong pandangi aku
aku yang menelanjangkan dahaga
serapkan tenatku ke dalam ronggamu
dapatkah kau rasa?
kerana dari luka-luka itu
aku sedang mendamba

terkulai di kosong ini
jamahilah sunyi
lihat aku menangis....
air mataku di dalam jiwamu
bukankah kau mengerti?
benarkan aku menggadai sepi
menebus ghairah di malam yang pedih
jarak itu biar jadi lebur
hanya hanyut tenggelam
tiada bantahan

kau rebahlah di kamar ini
lalu relakan ia setulus-tulusnya
itu yang aku pinta
saat malam kita terus bernista
bolehkah...?
tenangkan aku dengan pelukmu
hangatkan aku dengan hangatmu
bolehkah...?
hilangkan dingin jasad ini
dengan bibirmu menyelimuti bibirku
tubuhmu menyelimuti tubuhku
kau sedutlah luka ini keluar
bawa ia jauh....
jauh dari membunuh aku
tolonglah!
tolong longlai di dakapku
tolong asyik di belaiku
tolong tenang di cumbuanku
tolong nikmat di tenatku
tolong setubuhi jiwaku....
hingga kosongku jadi penuh

Bayang Kelam....
aku menyeru kau datang
datanglah merentas malam
ke mari, ke dalam fantasi ini....

(17/03/08 8:38 pm)

asmara kematian....berahi yang berdarah


dari celah kegelapan
aku hadir
menarik guruh di langit
memanggil halilintar
bumi basah bertangis hujan

aku datang dari udara
dalam pelukan kurung hitam
mengirai rambut yang mengurai
syahdu menyelubung tubuh

di balik tabir kepiluan seribu
bisikkan namaku itu
bersaksi rantaian petir
dan cahaya lilin yang menari
seru aku
dan aku menjelma
meniti bayu


sambut kehadiran ini

mentera yang kau ratap

kepulanganku menyusur malam

sesudah seribu tahun

menjejak banglo usang


kau
yang membuka pusara lara
kau

yang memanggilku

dari persemadian

dan kini aku di sini

melayang menghampirimu


datang padaku, kekasih

melunas rindu ini

jalarkan jari-jemari itu

rasakan kedinginan di diriku

dan kedingian ini akan menusuk ke liangmu

menyebar hangat dambaanku

aku yang dahaga

menuntut jiwa


datang padaku, kekasih!

nafas yang berhembus di lehermu

dan berlari ke dada

berlari ke wajah

mengembaralah di tubuhku

dan bibir ini gemersik

merintih berahi


seru namaku, kekasih!

persembahkan untukku!

telanjangkan jiwamu

bongkar fantasi hitammu

persembahkan ia untukku

irama keras

biar malam terbelah

kencang!


di bawah purnama

benam cakarku

tertanam di kulitmu

mengalir darah

hangat dan merah

keindahan semulajadi

yang membasahi lidahku


lunaskan dahagaku, kekasih!

kucupan berdarah

gemalai bibir

menanam taring

meminum kemanisan yang merah

pejam matamu sayang

nikmati keasyikan ini


mengembaralah di tubuhku, kekasih

pergi ke bawah sana

hirup cintaku

tubuh yang melayang

membuka laluan

hirup sepuasnya

biar detik ini menjadi khayal


mengeranglah, kekasih!

jeritkan serakah itu

bersama darah dan luka

aku yang mencakar dan merobek kulitmu

panas dan dingin

menghidupkan kebencian di dalammu

menyemarakkan api amarahmu


puja aku!

maki aku!

cintakan aku....

dengan penuh kebencian

dan petir menyambar

aku turun ke bawah

untuk meluah kasih


buktikan cintamu, kekasih

apa yang ku mahu....

bila bibir ini menyapa kekejanganmu

sekali lagi taring terbenam

....aku mahukan jiwa....

mengoyak dan meratah

menghisap rakus

dan malam bermandi darah....


saat tubuh dinginku kembali hangat

tubuhmu beku

terkujur kaku

bangunlah, sayang

bangkit dari kematianmu

aku tersenyum menanti

malam ini kita bersatu

abadi selamanya....

(-zon gelap-20/02/08 2:08 pm)

Gelora

dalam kedinginan
mengalir hangat bara
meresapi liang-liang naluri
lantas menggoncang ketenangan
mengkecamukkan hasrat

semakin jauh dan jauh
hanyut dalam gelora
mengkucar-kacirkan degup jantung
menterbalik denyut nadi
terus keresahan
gelisah di puncak dunia

semakin hangat lagi
hingga menjadi merah
jiwa yang kian hangat terbakar
kian hilang kawalan
kian terdesak
mendesah kemahuan
menyentuh tubuh fantasi

membahang darah ini
diransang khayalan biru
ranjang yang memanggil jiwa
mahu tersungkur
membawa ilusi
rebah di kamar kayangan
membenamkan nurani

dalam alam mimpi
menyatukan nafas
kencang memburu dakapan
dan amuk sanubari ini
kian tak karuan
kian tak tertahan
meronta menggegarkan damai

rahsia itu
di sudut yang peribadi
dahaga yang menggila
mengisi daerah batin
ruang yang paling sulit

(10/08/06 3:14 am)

akad (dalam pengembaraan masa)

Rabu, 8 Disember 2010

darah ini namamu
wajah cintaku
dan mengalir di seluruh tubuh ini
membawa denyut rindu

ku dakapi nafasmu
bersatu dalam jantungku
berdegup di sepanjang hidup
tulus
dan beralun teguh (02/09/01 10:22 pm)

hati ini cintamu
lakaran jiwa
aku genggami kejap
meresap ke dalam diri
bersebati di nadi
....mengukir hidup....

pada laluan ini
aku dirikan naluri
berpegang pada janji yang satu
di atas segala isi dunia
dan selaut air mata
mematri namamu
hingga aku lesu
longlai pada garis masa
dan aku terus menggenggam
selagi nyawa masih mencengkam (08/12/10 1:34 am)

di pusara
aku abadi
membawa segala-galanya
selama-lamanya
demi untukmu
keranamu
dan darah ini
seluruh kenanganmu
akan aku hidupkan
sehingga mati! (14/05/2005)

Jenis Sampah