Nisan

Rabu, 18 Mei 2011

melukis sepi di langit
ke dalam hati
sambil memejam rindu
yang hilang....
....dipadam dingin
suara yang meronta-ronta....
merayu-rayu
....menutup telinga
membiar

dalam kesia-siaan
jalan kanan dan kiri
yang bertulis mati
menengadah ke atas
merunduk ke bawah
cerita yang sama
kelam

mengerlip mata
....sejuta diam....
menghitung benar
dan yang tercengkam
rasa di luar rasa
tiada tafsiran

mahu ke mana...?

mengamati terowong
mencari hujung
....namun hanya gelap
yang tak berpenghujung....
menoleh ke belakang
mencari pangkal
....namun hanya gelap
yang tak berpangkal

gugur tangis
tanpa tangisan....
gugur rintih....
tanpa rintihan
memerhati hidup yang lalu
berselisih bahu
....pergi bersama angin....
remajaku yang memudar....
naifku yang memijar....

hanya sia
genggam yang kabur
lerai yang kabur
lalu cuma membatu
menjadi nisan cinta
di pusara kenangan

(18/05/11 10:18 pm)

nota : gambar bukan milik penulis

Bicara Bisu

seperti roh sesat
yang berlegar di awang
aku melilau
melintasi pintu yang dingin
lalu diam di kejauhan
memerhati

.
.
.
.
.
.
.
.

dan bisu
masih lagi bisu
bicara yang terbenam
sentuhan yang tercantas
dan perlahan-lahan
mendongak ke langit
meneguk gelap

(18/05/11 9:34 pm)

Tanpa Tajuk #8

Selasa, 17 Mei 2011

patahkah naluri
andai kau pijak
curahkan dakwat hitam
biar ternoda kertas putih

musnahkah dunia
andai kau menggoncang
gerhana rambulan
gerhana suria
gerhana bumi
bakarkan istana bertakhta
nanti tinggal tanduslah

hancurkah aku
diletupkan olehmu
warna ceria
warna gelap
salahkah ia
aku atau mereka?

(1997)


Tanpa Tajuk #7

kian gersang dan usang
menunggu
untuk senyum
bagaimana
untuk ketawa gembira

hampir tamat waktu
menanti percubaan
menelaah pelajaran baru
bagaimana
untuk merasa bahagia

tergerak hati
menyentuh kejernihan
sudah kelam
kejernihan dibayang keruh

masih ada dua saat
untuk senyum ketawa
selepas itu
bungkam semula
seperti asalnya

(1997)

Penyesalan

dibaluti kedinginan
ku peluk tubuh ini
memejam mata
kuyup dalam tangisan
ku tangisi jawapan
apa ertinya kini
tanpa selimut
menggigil menggeletar
menahan angin malam
menelusuk ke tulang

beratnya batin merana sendiri
atas sakit yang tiada penawar
belum reda lagi tangisanku
menghayati belaianmu
telah ku timbuni dosa
sakit kepalaku terdera
kini meratap kehampaan
harapan kasihmu
telah ku humban
tenggelam ke dasar keji

ku kutuk diri ini
ku belasah nafsu ini
tetapi apa ertinya
siapakah yang bisa ampuni
kesalahan dan dosa itu
runtuh sentuhan yang membesarkanku

ampunilah aku
walau ku tahu
rintihan ini
tiada kesudahannya
tiada maknanya

(1996)

AMUK

BERIKAN RUANG
BERIKAN SUNYI
ARGHH!!!!!!!!
BISINGNYA!!!!!!!!
DARI DULU
KAU BISING
KE MANA KU PERGI
KAU IKUTI
KESILAPANKU
BERULANG KAU UNGKIT
KEBAIKANKU
SERING KAU RAGUI
LANGKAHKU
KAU SANGSI
TEMANKU
KAU BENCI

APA YANG KAU MAHU
WANG?!!!
HARTA?!!!!
BERLIAN?!!!!
KATAMU BUKAN ITU
KATAMU KEJAYAANKU
BIAR AKU BERITAHU
TAHUKAH APA YANG AKU MAHU?
AKU MAHU KETENANGAN
JADI....

DIAM!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

TUTUP MULUT KAU
DAN DIAM
TINGGALKAN AKU SENDIRI

(1996)

*heh!

~Dia

sepanjang laluan ini
pantas aku berlari
mengejarimu
agar dapat ku gapai
sebelum kau lesap
dibawa senja yang tiba

satu persatu saat menghilang
sepanjang hari ini
tidak terasa padaku
semata-mata rindu semalam....

tika itu
kau terbit bersama fajar
menarik indera alam
terheretlah aku bersama
biar rebah dalam berlari
akan tetap ku teruskan

nantilah aku di sana
pasti di sana
hidupku siang di sepanjang hidup ini
mungkin jua
ia kan malam selamanya

(1996)

Tanpa Tajuk #6

bila-bila masa
dan di mana sahaja
kita boleh membina dunia
sesuka hati

kita tidak perlukan duit
tidak perlukan batu-bata
tidak perlukan tenaga kerja
tiada tempoh hendak ditunggu
tiada sesiapa hendak mengganggu

di mana jua
kita bisa hidup
mengikut jiwa
banyak ruang yang ada
malah kita tak perlukan ruang
asalkan kita mahu
sekelip mata berlaku

bukan mimpi
tutup mata
atau buka
ia kebenaran
di dalam dunia
wujud beribu dunia
dunia di balik dunia
dunia di atas dunia
dunia di luar dunia
dunia syurga
dunia neraka

asalkan kau mahu
kau boleh hidup
di mana-mana

(1996)

Tanpa Tajuk #5

Di suatu waktu
menyelusup kehadiran tidak diundang
bersembunyi di khayalan
mengintip apa yang disembunyi
dalam persembahan
teater realiti

Deruan nafas
menyeramkan rasa
ia meresap melaui celahan jari
lalu merasuk akal fikiran
memukau deria dan nafas
terperangkap seluruh penghuni
maka ia pun pergi
kemudian kembali semula
mengulangi perbuatan yang sama

(1996)

Tanpa Tajuk #4

berselindungkah aku?
lari dari itu
takut?
takutkah aku?
tetapi tidak pernah aku gentar
selama ini
lalu-lalu tenang wajahku
bukan berpura hidup

Ah!!
ku kambuskan semua sekali
ia tetap terbenam setiap sesaat
setulusnya tanpa rasa
kilas ku padam sendiri
tidak sudi menanti apa-apa
ia terpadam dek angka kertas

janjiku pada realiti, inilah
biar ia ku hilangkan
biar ia bertandang
siapa ingin menyambut
pergi!
pergilah!!
jangan kembali lagi

(1996)


Tanpa Tajuk #3

ketidakbenaran berterusan
tiada yang pasti
tiada yang tepat
bukan luka
bukan pilu
tetapi menyakitkan
menyayat hati
bukan semalam
bukan hari ini
bukan esok
bukan lusa
bukan realiti
bukan fantasi
bukan harapan
bukan kehendak
inginku dekat
namun kian jauh
mencari dan mencari
masa demi masa
hanya masih diri menanti
apakan daya
tiada kunci satu pintu
membuka tempat yang entah wujud

(1996)

Tanpa Tajuk #2

Malam ini cerah umpama siang
menjanjikan kedinginan rasa
rasa dingin yang keterlaluan
hingga tidak hilang
walau dibakar tujuh api sakti

Malam ini sepi umpama mati
menjanjikan kehausan rasa
rasa haus yang berpanjangan
hingga tidak hilang
walau diteguk tujuh laut suci

Malam ini ngeri umpama palsu
menjanjikan kehangatan rasa
rasa hangat yang menghanguskan
hingga tidak hilang
walau di dasar tujuh salju asli

Malam ini rahsia segalanya
seorang insan terlantar ketenatan
hanya sejalur cahaya iman
dirayu mengubat derita
1001

(1996)


Tanpa Tajuk #1

di detik kedamaian
di titik keseorangan
pejamkan matamu
hayati hadirnya suara
bisikan semangat jitu
jika kau sedar
setiap waktu
ia merayu

susurlah seketika
di arus sejati
tidak mungkin kecewa
kerana sebuah azimat
di keyakinan kejujuran
pada nyawa dan nafas
di ruang tak bertepi
kau dan dirimu
perlu dicantum

....rayuan iman
ianya suatu keramat

(1996)

*menyelongkar bahan buangan otak yang lama-lama di dalam timbunan sampah~sangat naif dan mentah

alam lain

di satu titik
bila cermin membiaskan dimensi lain
dan kita melihat kita yang satu lagi
berbeza, tapi serupa
serupa, tapi berbeza
di situlah di sini
tentang sebuah ada
di dalam ketiadaannya

(17/05/11 6:24 pm)


Tidur

Khamis, 12 Mei 2011

bersama diam
aku sedut aroma sayu
debur laut yang sayup-sayup
....hanya membatu
dari kejauhan ini....

tanpa kata-kata
tanpa ungkapan
melirik langit hitam
menarik nafas berat....
....aku dan sebuah pengertian....
lalu alam dingin lagi
sepi....

sekadar bisu
memeluk udara malam
pilu yang menusuk halus....
....bila aku masih tahu
ombak itu....
masih lagi terus beralun

sepikan sahaja
biar terus sepi
huraian yang pasti patah
menawan kenyataan
maka tidurlah cintaku
tidur lena....
di dasar hati yang paling dalam
yang aku kunci
dengan kebekuan....

(12/05/11 11:52 pm)

nota : gambar bukan milik penulis

Tentang Lupa

Rabu, 11 Mei 2011

saat aku hitungkan rasamu itu
yang membentuk titik-titik cahaya bintang di langit
meskipun yang ada cuma sepi malam
aku menafasi aura rindu
mendenyuti nadi kasih
mengindahi erti hadir

dengan sentuhan mata
aku kutip-kutip dan susunkan
kenangan yang berserak di awan
cebis-cebis dari kisah picisan kita
yang mendebur menempiasi tubuh aku
ditiupkan oleh bayu

hanya dari rasa
aku kembara menyusur arus bulan
sambil diam-diam aku kira
titis-titis gerimis
yang jatuh dari takungan hati sunyi
....bahasa jiwa kita
dalam bicara yang sama

lantas aku terus menerawang saja
menyentuh dinding-dinding illusi yang penuh dengan nyata
sepertinya berenang di ruang tanpa graviti
di dalam sebuah hati
dan hanya sekali lagi aku ulangi
meskipun yang ada cuma pertemuan mati
aku menghirupi hidup rasa
mendegupi detak naluri
menghayati makna tulus
kerana aku....
cuma aku....

di birai jendela kamar ini
tangan ini aku tampungkan cahaya jernih
yang di dalamnya terkandung biasan kamu
tentang kisah pada laman yang sederhana
tentang nama yang bernama tanpa nama
tentang cerita kita
cerita yang hanya cerita biasa

dan malam kian larut
lalu beransur-ansurlah datang angin kencang
meniup ke muka
buat aku harus berkelip laju
menahan pedih yang menyapa
kemudian detik itu menghilanglah jejak bulan
kabur dari penglihatan mataku
sirna dan terus sirna
dan akhirnya ghaib





.
..
.



saat aku hitungkan rasaku ini
yang bernama lupa........

(11/05/11 11:04 pm)

Bulemia

Jumaat, 6 Mei 2011

hanya mahu memuntahkan
:-dengan sengaja
segala bahan makanan
hadaman otak 






sebelum ia menepukan
kewarasan fikiran

(06/05/11 12:10 pm)


Jenis Sampah