Permainan apa ini
bersenda dengan kebenaran
bertukar-tukar kenyataan
mencoret-coret realiti
hakikat yang tiada paksi
Pertaruhan apa itu
meletak janji-janji
menggadai ketulusan
lantas berjudi perasaan
dengan bahang-bahang luka
Janji dan janji melangit
berubah rupa
bersalin kulit
hingga semakin palsu
semakin bohong
Takhta yang didirikan
bersifat khayal
dikhabar-khabar
diura-ura
tak membawa makna
Wajah yang sebegitu
memohon keindahan
datang dengan mimpi
datang dengan sumpah
dan untuk siapa?
sumpah yang mengutuk diri
menjadi lambang mungkir
hati yang mementingkan diri
Permainan apa?
permainan watak mulia
lagak cinta suci
tanpa pengertian
tanpa belas kasihan
tidak pernah mahu merawat
tidak pernah mahu menyelamat
demi rindu, demi kenangan dan demi kecewa sendiri
demi ingatan sendiri
demi dirimu sendiri!
(13/07/06 9:16 pm)
0 Tindak Balas:
Catat Ulasan