ilham

Khamis, 28 Disember 2017

kau buat aku mahu menulis
mahu berbicara
mahu bersenandika
berkata-kata bersama malam
menghitung detik yang larut
lalu terbang ke langit lepas
menyusur bintang-bintang
melayang dalam ruang
menghirup udara hening
pekat dan dalam
memabukkan hati
dan segalanya jadi sarat
berat
hingga menghujan puisi
penuh seni....

(28/12/2017 1:00 am)


aku

Rabu, 11 Oktober 2017

bila aku menjadi aku
kamu masih lagi menjadi kamu
dan aku masih cinta
dengan seluruh jiwa

tak pernah terhenti
tak pernah terganti
tak pernah mati
namamu
abadi

berapa abad
berapa kurun
tak terpadam kisah
sayangnya
ia masih kamu
hanya kamu
tetap kamu

tapi aku
bukan lagi aku
dunia ini
bukan lagi dunia kita
lalu aku seperti panah yang tiada sasar
terbang tanpa tempat singgah
bernyawa tanpa nafas
menghitung segala benar....
....yang tersanggah

.
.
.
.

bila aku menjadi aku................

(11/10/17 1:54 am)

 

cereka celaka

realitiku mati
dalam kehidupan buatan
mimpi yang tinggal mimpi
dalam benarnya azali

di antara sisa runtuhan
ada cinta untukmu
erti seluruh wujudku
tapi nyata itu hanya tidak
jadi zarah-zarah kosong
terbang ke langit  

masih dalam gejolak
khayal dan waras
bila seluruh jiwaku menggenggam
sedang seluruh akalku merelai
lalu ke mana aku mencinta
hakiki yang menafi benar
kamu yang kekal ada
dalam ketiadaan

maka beginilah 
cereka lagenda itu
sebuah cinta paling sempurna
namun tak termiliki
.
.
.
.

(11/10/17 1:20 am)
 







kita

dari langit sejuta
luruh cinta kita
seisi usia
usai rentetan hidup
zaman ke zaman
jadi hikayat
 
pada alam yang berbisik
terukir bicara rindu
aku ratib baitnya
akrab ke jantung
dan bersatu nyawa
sebati
penuh ke nadi
seluruh sanubari
 
saat lahir luhur
maka berakhirlah aku
menjadi kita
sempurna
ke akli syuga
termaktub cerita
satu dan abadi
 
cinta kita
dari luar dunia
rindu sebelum bermulanya realiti
rindu sehingga berakhirnya hakiki
seribu hidup
seribu mati
 
sayang fikrah itu
cintaku hanya kubur
di dunia yang tak pernah berhenti beredar
tiada cintamu
maka hati yang diam
hanya tinggal memuja
dalam alam cereka

luka yang tiada rupa
dan damba yang tiada nyata
aku campak tangis
ke tengah ombak
lalu esaknya beralun
di dasar badai
....

(11/10/17 12:50pm)
 

Kata-katamu

Selasa, 10 Oktober 2017

kata-katamu elektrik
mengalirkan arus
membawa getar
dan pada dinginnya malam
aku hangat....

(10/10/17 11:32pm)



teduh

bila langit luluh
meruntun
beku itu pelindung
dan aku sembunyi
dalam hidup yang mati........

(10/10/17 11:02pm)


Mabuk

Isnin, 14 Ogos 2017

malam untuk menulis
tentang rasa-rasa yang tertunda
tersisip dalam poket semak
basi dengan rutin

ini aku..
dalam perjalanan ke syurga jadian
tempat lari dari kebenaran
sembunyi dari hati gelap mati
sembunyi dari jiwa kering lusuh
apa ada di dalamnya....
hanya tiada

ini aku..
sedang menyelongkar almari hidup
cari-cari dan telek memori
membelek makna
sambil melihat langit
melayan irama yang bermain

ah..aku lupa..
cerita apa ini, ya?
hilang lagi..
aku hilang lagi..
hilang diri aku
hilang dalam diri sendiri

(11/08/2017 8:26 pm)

....

pernahkah kau merasa
seperti berdiri di puncak
menghulur tangan
cuba menggapai sesuatu
namun sejauh mana kau gapai
tetap tak sampai
lalu kau genggam tangan yang kosong
membuka jari jemari
melihat ketiadaan
dan angin bertiup
menghembus semuanya pergi..
melintas di depan mata....
makin jauh dan jauh..
dan hilang.

(11/08/2017 8:54pm)

Ceritera

beribu fikir dan khayal
dalam minda yang separa sedar
aku terbang dan aku tenggelam
berputaran dalam waktu

sebelum malam bertemu pagi
dinihari hilang
entah ke mana segala faham
hanya bingung yang tebal
bermain dalam mimpi yang jaga

tahun yang kesejuta
dalam kalendar abadi
menghitung detik-detik kosong
penuh alpa dan lupa
walau berteman ingatan
penuh kenangan

ke mana ombak menghempas
menghumban kenyataan
benar yang menghilang
ghaib bersama masa

di sudut sepi rasa
hanya aku dan langit
bercereka tentang hidup
kisah purba di dimensi berbeza
khayal
khayal
khayal

dan..inilah realiti.

(11/08/2017 8:10pm)

Sunyi

ia kebisuan yang melampau
gelap-pekat
keliru dalam celaru
sejuta rasa
yang tiada rasa

(11/08/2017 5:34 pm)

epika

Jumaat, 16 Jun 2017

malam yang menjemput laut..
seakan waktu tak pernah berlalu
dan deru ombak yang memenuhi alam
sayu menusuk
....dalam

terdengar bisikan 
bersama runtun angin
menyucuk ke jiwa  
mengheret aku berkelana
menyusur suara
menjejak jalan yang sama
sepertinya masa terhenti
abadi....

 ku pejamkan mata....
mendengar nyanyian
berkumandang gemersik
membelai hati
menikam
mencengkam
dan kenangan lahir
di setiap liang dan zarah
di setiap ruang
di setiap nafas
di setiap rasa....

....aku hilang.... 

(16/06/2017 1:30am)


punah

Khamis, 2 Mac 2017

kata-kata tanpa tafsir
bersimpul pada rangkap sulit
seperti membayangkan bulan
mengandaikan bintang
cantik nan rawak
tak bertunjangkan wajah

himpunan bait-bait samar
indahnya seperti laut itu
pusar yang tak bertepi
gelombang tiada mula
tiada hujung
alun-alun bebas
merdeka menjelajah minda
menerobos dinding dunia
dan lepas di udara
khayal
kabur
hanyut
hilang
sejuta satu misteri langit



.

 

....lalu pincanglah 
bila bayang-bayang mahu dijasadkan
yang terbuka disempitkan
mengulas kias
sedang seni itu sempurna
kerana seninya.... 

(02/03/2017 2:12 am)

Jenis Sampah