Cerita Ini Hanya Tentangmu

Ahad, 10 Januari 2010

Permainan apa ini

bersenda dengan kebenaran

bertukar-tukar kenyataan

mencoret-coret realiti

hakikat yang tiada paksi


Pertaruhan apa itu

meletak janji-janji

menggadai ketulusan

lantas berjudi perasaan

dengan bahang-bahang luka


Janji dan janji melangit

berubah rupa

bersalin kulit

hingga semakin palsu

semakin bohong


Takhta yang didirikan

bersifat khayal

dikhabar-khabar

diura-ura

tak membawa makna


Wajah yang sebegitu

memohon keindahan

datang dengan mimpi

datang dengan sumpah

dan untuk siapa?

sumpah yang mengutuk diri

menjadi lambang mungkir

hati yang mementingkan diri


Permainan apa?

permainan watak mulia

lagak cinta suci

tanpa pengertian

tanpa belas kasihan

tidak pernah mahu merawat

tidak pernah mahu menyelamat

demi rindu, demi kenangan dan demi kecewa sendiri

demi ingatan sendiri

demi dirimu sendiri!


(13/07/06 9:16 pm)


. .

Di penghujung waktu

aku berdiri

lalu mencari

di mana paksi semua ini?


Longlai sudah jiwaku

parah terdera di sini

terkulai sepi

tercampak jauh

melata entah ke mana


Airmata yang membenam dada

jatuh lalu kering

tiada makna

tiada erti

terbiar usang

lantas mati

berkubur jiwa


Aku terasing

tersisa

terbiar

lalu detik yang terus berlalu

meninggal aku

kekosongan di sini


(11/08/05 11.00 pm)


Infiniti

Hati ini

bagai diputar-putar

terjerat dalam kitaran

yang tiada penghujung

dan tiada awalan


Aku tersungkur

lalu tetap bangkit

bertolak-tarik

bermain dengan harapan

dan aku kecewa

demi menyusun mimpi

lagi dan lagi


Aku menjadi laut

yang tak mungkin kering

namun dalam badainya

aku terhempas

aku terhumban

diseret oleh arus

yang tak pernah berhenti


Aku kecundang

terasing tanpa pembelaan

menjeruk rasa

terpinggir tanpa rayuan

betapa seabad

mengabdikan jiwa

pada janji

yang tiada pasti


Terbelenggukah aku

tanpa sedari?

hentikanlah

hentikan saja

biar ranap sekaligus

tanpa perlu hidup

dan mati kembali

lagi dan lagi


(09/08/05 6.35 am)


ya, aku bercakap dengan kau

Rabu, 6 Januari 2010

apa lagi yang boleh aku kata
kalau kau sudah mahu mati
tapi aku juga tak mengerti
pernahkah kau hidup selama ini?
hidup untuk aku
walau hanya seketika

(06/01/10 11:40 pm)

Jenis Sampah