Sir pond tarn

Rabu, 6 Januari 2010

Aku mahu menangkap malam ini
menjadikannya banduan memori
kerana di sini adalah penjara peristiwa
kisah yang tersulam pada bait kata
namun aku harus beritahu
akhirnya aku seringkali terlupa

Aku ini sedang bermimpi
ketika merepek entah apa
membuak-buak bermuntah bicara
hingga bersepah di ruang muka
menjadi sampah-sarap
bahan buangan otak
dan kemudian mereka gelar ia puisi

Lagi sekali di dada waktu
aku merapu menabur saat-saat yang mati
nyawanya yang kejam dicantas oleh hidup
yang tak pernah punya simpati
namun aku juga seperti kenangan yang zalim
yang tak pernah memberi kesempatan
lalu membiar dunia menjadi kubur
kerana betah menjawat jawatan itu
--pembunuh upahan
yang menerima upah dari nafsu
untuk membunuh usia
yang dipinjam dari ajal

Sebenarnya aku mahu mengawet masa
menjadikannya mumia di piramid jiwa
megah bertakhta di singgahsana
pusat pengumpulan sampahku
dan esok-lusa aku bakal kagum lagi
kerana telah aku beritahu
aku akhirnya seringkali terlupa


kepada kenapa


(06/01/10 11:24 pm)

Ghairah

bisik pada malam
merayu sepi
membakar udara dingin
buat menancap adu berahi

ke sini....
ke mari....
bulan sedang kepanasan
bintang-bintang sedang kehangatan
dongak dan lihat langit yang membara
hujan sedang berasap
menanti sempurna gerhana

jangan tidurkan
....mahumu yang ku pujuk
idammu yang ku goncang
lepaskanlah..
biar dunia jadi merah

malam ini kita menari
mengikut irama hati
mataku yang kau renangi
membilang khayal rasa
perjalanan dari atas
menuju ke bawah
meneroka tengah
hingga tiba ke dalam
menujah dasar
....demi mencapai puncak....

ledakkan!

(06/01/10 10:02 pm)

Aku

lama aku kuis zarah-zarah di udara
aku kirai gas-gas yang terkumpul
yang mampat dan yang bebas
yang pejal dan yang cair


....ternyata, aku masih juga mencintaimu

(05/01/10 11:54 pm)

Pandora

Jumaat, 1 Januari 2010

Mengembara ke Pandora
dengan menunggang awan
menyapa burung sakti
dan menyanyi seperti Si pari-pari
dan senyumlah....
seperti anak kecil....

(01/01/10 7:50 pm)



Jenis Sampah